Wednesday, December 23, 2009

1431H : Mencari ruh srikandi Islam untuk gerakan Muslimat

"Muslimat.... Aktif.... Muslimat.... Hebat.... Muslimat.... Mantap! Mantap ! Mantap!"

Saya sangat teruja mendengar gemaan slogan yang diketuai Pengerusi HELWA ISIUKM, Saudari Atika. Slogan yang saya rasa mampu untuk membangkitkan semangat muslimat untuk menjadikan mereka mampu melangkah jauh kehadapan walaupun kekadang dipandang sinis oleh sesetangah muslimin.

Peranan muslimat dalam mengembangkan gerakan Islam memang tidak dapat dinafikan. Bermula dengan orang paling dekat dengan Rasulullah iaitu isteri baginda sendiri, Khadijah. Seorang muslimah berpengaruh yang sangat hebat dalam bidang perniagaan. Mampu meginfa’kan seluruh hartanya untuk kelansungan dakwah Islam dan seorang yang berjiwa besar tanpa pernah dihalang oleh Rasulullah.

Bila kita lihat realiti hari ini, terdapat sesetengah wanita di negara-negara ummat Islam tidak terkedepan dalam bidang perniagaan. Adakah disebabkan Islam menghalang? Atau muslimah telah lemah asbab sindiran dan kemaraan lelaki dalam sektor penting penjanaan ekonomi? Pelbagai persoalan timbul yang memerlukan koreksi diri setiap dari kita tanpa ada bias gender. Mencari punca dan penyelesaian dari akar umbi.

Sempena dengan Ma'al Hijrah kali ini, marilah kita menghayati kejayaan besar Islam apabila berjaya membawa momentum yang hebat sehinggakan Madinah disegani oleh kawan dan lawan.

Dr. Mustafa As-Siba`ei telah berkata bahawa Hijrah adalah antara peristiwa besar yang telah merobah perjalanan hidup manusia dan tamadun kehidupan. Jika idea Hijrah tidak tercetus, berkemungkinan cahaya Islam tidak dapat menerangi dunia hingga ke hari ini. Apa yang menariknya di sini ialah kejayaan Hijrah adalah hasil bantuan, sokongan dan pengorbanan dari pelbagai golongan termasuk wanita. Sebagai umat akhir zaman, peristiwa hijrah tidak sewajarnya dibaca secara kosong saban tahun. Adalah lebih baik kita mengkaji watak-watak utama dalam kisah ini yang telah membawa kejayaan besar kepada dunia Islam.

Salah satu watak yang memberi sumbangan besar dalam kejayaan agung ini ialah Asma' binti Abu Bakar. Insan yang berjaya membuktikan kepada dunia bahawa muslimat juga berjiwa kental dan mampu memberi sumbangan besar kepada Islam. Saya terlalu kagum dengan insan luar biasa ini.

Tidak terbayang pada pandangan saya, seorang wanita yang dhaif pada pada pandangan fizikal menerima tekanan hebat. Dalam usia yang masih sangat remaja, Asma binti Abu Bakar telah mampu untuk memahami betapa pentingnya erti hijrah Rasulullah s.a.w. tersebut. Untuk itu beliau melakukan gerakan tutup mulut, ketika Abu Jahal secara paksa mengancamnya agar dia memberitahukan dimana persembunyian Rasulullah dan ayahnya. Kerahsiaan demi kesinambungan Islam menyebabkan Asma' ditempeleng Abu Jahal. Setengan riwayat menceritakan Asma' ditempeleng sehingga anting-antingnya tercabut. Jika muslimat hari ini yang hanya sekadar baru ditengking sudah hilang optimisnya dan cepat menangis, saya rasa kita terlalu jauh dengan Asma'. Sangatlah tidak munasabah, kebangkitan muslimat terhenti dek hanya kerana tawa sinis muslimin tatkala slogan muslimat dilaungkan untuk membangkitkan semangat.

Pada pandangan saya, gerakan muslimat perlu kedepan. Muslimat perlu menjadi seorang yang mampu bersuara lantang bila terdapat kepincangan dalam gerakan. Mampu mempertahankan hujah dan tidak gentar dengan serangan provokasi dan sindiran sinis muslimin. Pada masa yang sama, muslimin juga perlu membuka ruang dan tidak hanya berada pada tahap yang lama yang hanya memandang muslimat dalam kontak berbeza. Kekadang muslimin perlu meraikan muslimat kedepan. Memberi ruang dan peluang dan sanggup untuk mengakui kelemahan sendiri sekiranya terdapat kelompangan. Muslimin juga perlu sedia untuk menerima kritikan dari muslimat semata-mata untuk kebaikan gerakan. Bukan saya katakan tiada langsung peluang diberikan, cuma kalau dilihat penerimaan secara total masih tidak ada.

Saya suka mengambil contoh dari kisah Umar Al-Khattab dalam penentuan mas kahwin. Saidina Umar r.a. sendiri telah menarik balik pendapatnya dalam menetapkan mahar maksima sebanyak 400 dirham setelah beliau dibacakan dengan surah Al-nisa' ayat 20 oleh seorang wanita quraisy. Situasi ini bagi saya sangat signifikan dengan gerakan muslimat. Walaupun berhadapan dengan orang paling berkuasa dalam satu kerajaan, wanita ini tetap boleh memberikan hujah dan pada masa yang sama Saidina Umar mengakui kesalahan sendiri dalam penetapan sesuatu perkara.

Saya juga suka untuk kita semua meneliti satu nama yang banyak memberi sumbangan pada Islam. Khaulah Al-Azwar. Seorang yang sangat menonjol dalam peperangan Yarmuk. Berita kehandalannya terserlah semasa keinginan membebaskan saudaranya dari tawanan Rom dalam pertempuran sekitar Damascus. Beliau meluncur laju ke arah barisan Rom, membunuh seorang dengan tombaknya, lalu meluncur ke arah barisan Rom di bahagian lain dan mencederakan tentera Rom yang lain. Pertempurannya secara solo itu ibarat menjadi satu pertunjukan kepada tentera Muslimin yang lain di samping membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang. Akhirnya, tentera Muslimin, bersama Khaulah berjaya membebaskan panglima Zirar dalam satu operasi serangan berikutnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin.

Melihat konteks masyarakat kampus sekarang, bukanlah saya katakan muslimat perlu mengangkat pisau untuk membunuh musuh. Tetapi, gunaah segala potensi yang ada untuk memantapkan gerakan. Adunkan segala kehebatan yang ada untuk mengeluarkan satu gerakan yang hidup. Muslimat perlu melontarkan idea, bukan hanya diam membisu. Bergerak seiringan dengan muslimin dan bukan hanya membuat kerja-kerja teknikal semata. Pada masa sekarang, kita memerlukan pemikir untuk menambahbaik gerakan tanpa menafikan keperluan pada peringkat ’amilin.

Dalam rencah suasana negara, kemunculan Sister In Islam (SIS) yang berani melontarkan idea kontroversi, mengkritik perlembagaan dan dasar yang ada amat-amat menggerunkan. Kemunculan muslimat yang boleh kedepan sangat perlu. Jadikan kampus sebagai medan pembelajaran terbaik kerana setiap kesilapan yang dilakukan adalah rahmat dalam membina kredibiliti.

Bangkitlah muslimat..Bangkit..bangkit..suasana mengasak kelantangan kita untuk kedepan. Bakul sampahkan sebentar rasa malu dalam beberapa perkara yang tidak bercanggah dengan syariah. Letakkan ketepi sebentar persepsi muslimin. Hanya kita yang boleh memajukan diri kita bukan orang lain. Semua peringkat perlu mainkan peranan. Bukan hanya peringkat pimpinan, tetapi ahli juga perlu bersama dalam memacu gerakan muslimat supaya lebih laju.

Konklusinya, saya amat optimis bahawa setiap daripada kecekalan dan kebijaksanaan mujahidah silam mampu meniupkan motivasi kepada muslimat untuk terus memberi sumbangan terhadap kebangkitan gerakan demi misi besar yang ingin dicapai. Sahabat saya selalu menyentuh berkaitan pemikiran lelaki yang makro dan pemikiran wanita pula mikro. Saya beranggapan, pemikiran mikro juga adalah potensi wanita yang diperlukan dalam gerakan sebagai alat pembangunan gerakan. Justeru, sepatutnya, kita perlu mengasah segala potensi yang ada. Bukan lagi berfikir mencari alasan, tetapi berfikir mencari pembaharuan. Misi kita sekrang, "mencari seribu jiwa srikandi silam'" demi kelangsungan gerakan agar tidak lesu.

Tuesday, November 17, 2009

Betulkah Kelantan dalam GERHANA?

Alhamdulillah dalam musim cuti ini masih sempat untuk menjejakkan kaki di bumi serambi Makkah walaupun hanya sekejap.

Sesampai dibumi barakah ini, jiwa saya terus dihidangkan dengan santapan rohani di masjid Hijau di Lundang. Perbicaraan berkaitan aqidah yang saya agak sebagai bekalan Allah untuk saya sepanjang tempoh dua hari dibumi ini.

Saya memandang bumi ini sebagai bumi yang sangat hebat pentarbiahannya. Saya merasai roh keberkatan padanya. Dalam memandang wajah jamaah masjid yang khusyuk mendengar ceramah dari Ustaz Saibon, seorang yang sangat saya kagum dalam melontarkan pandangan semasa menyampaikan ceramah. Dia tidak pernah takut untuk menyatakan yang haq walaupun bersalahan dengan kepentingan beberapa individu tertentu.

Berada disini mengingatkan saya pada isu petroleum dan gas asli. Pemberian wang ehsan pada rakyat yang sebenarnya patut menerima royalti sering mendesak saya mencari maklumat mengenai perkara ini.

Alhamdulillah, hari ini saya dah jumpa jawapannya kenapa. Satu artikel yang dibuat Oleh Syed Azidi AlBukhary dimana beliau berkata pada 16 Mac 2009, sebuah seminar berhubung KDNK mengikut Negeri telah diadakan di Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Menerusi bahan-bahan yang dibentangkan satu penemuan menarik telah mengesahkan segala yang sebelum ini sering cuba disembunyikan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Di dalam seminar tersebut, Economic Planning Unit (EPU), Jabatan Perdana Menteri danJabatan Statistik Negara memaklumkan angka baru sektor perlombongan di Negeri Kelantan. Ianya sangat signifikan iaitu RM2,615 juta bagi tahun 2006 dan RM2,721juta bagi tahun 2005. Bagi memudahkan kita, elok sahaja angka itu dibaca sebagai RM2.6 Billion dan RM2.7 Billion. Pada kebiasaannya sumbangan sektor perlombongan kepada KDNK Negeri Kelantan hanyalah 1.5% sahaja iaitu didalam lingkungan RM70 ke RM100 juta sahaja.

Wakil Jabatan Statistik Negara memaklumkan bahawa kesahihan data tersebut adalah berpunca daripada PETRONAS. Didalam erti kata lain, apa yang difahami dari seminar sehari tersebut ialah Petroleum dan Gas Asli telah mula menyumbangkan kepada KDNK Negeri Kelantan dari tahun 2005 lagi.

Pada 9 Mei 1975, Kerajaan Negeri Kelantan telah menandatangani Perjanjian di bawah akta 144 Petroleum Development Act 1974. Perjanjian tersebut yang kebelakangan ini cuba pula dinafikan oleh beberapa pemimpin BN termasuk tokoh BN Kelantan bertajuk, “Grants of Rights, Powers, Liberties and Privileges in respect of Petroleum”.

Section 4 di dalam perjanjian tersebut di baca seperti berikut,

“Section 4. Cash payment by the Corporation.

In return for the ownership and the rights, powers, liberties and privileges vested in it by virtue of this Act, the Corporation shall make to the Government of the Federation and the Government of any relevant State such cash payment as may be agreed between the parties concerned.”

Oleh yang demikian, sekiranya royalti Petroleum dan Gas Asli dibayar kepada Kelantan berdasarkan data EPU Jabatan Perdana Menteri mengikut akta dan perjanjian yang ditandatangi maka Kelantan berhak mendapat royalti 5% daripada hasil pengeluaran.

Oleh yang demikian, royalti yang harus dibayar secara tunai oleh kepada negeri Kelantan pada tahun 2005 ialah sejumlah RM131 juta. Bagi tahun 2006 pula ialah RM136 juta. Data Rasmi bagi tahun-tahun seterusnya belum dikeluarkan. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat daripada kenyataan Media PETRONAS, SHELL, CS MUTIARA dan AREMADA HESS menyakinkan bahawa aktiviti carigali dan penggerudian Gas Asli di beberapa blok berhampiran Perairan Kelantan sedang bertambah aktif, bererti jumlah hasil semakin meningkat setiap tahun.


Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia

Pada 2004, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Kelantan diletakkan bersama Sabah dan Terengganu sebagai penyumbang sebanyak 62.5% hasil galian Petroleum di Malaysia.

Ketiga-tiga negeri ini menghasilkan keluaran kasar sebanyak RM46,810,935 ribu (atau RM46 Billion). Sila rujuk buku mukasurat 187, Jadual 5.3 buku jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2004.

Mengapa Kelantan Tidak Mendapat Imbuhan?

Malaysia menerusi PETRONAS memperolehi 50% dari hasil penemuan di JDA yang begitu dekat dengan Kota Bharu sehinggakan pemancing tempatan pun boleh pergi ke pelantar tersebut.

Terengganu

Telaga Minyak Terengganu 166 KM Pun Dihantar Balik Ke Terengganu

JDA lebih dekat dengan Kota Bharu berbanding telaga minyak di Terengganu dan jaraknya dengan Kerteh.

Hujah mengatakan Kelantan tidak berhak kerana ia terletak di kawasan bertindih adalah begitu mentah sekali kerana,

  • Kawasan itu dituntut sebagai hak Malaysia kerana Kelantan adalah sebahagian dari Malaysia,
  • Malaysia memperolehi 50% dari hasil di situ kerana Kelantan adalah sebahagian dari Malaysia.

Oleh yang demikian, ia menunjukkan pentingnya Kelantan didalam penyelesaian dan hak Malaysia ke atas JDA.

Jika Kelantan adalah sebahagian dari Thailand atau sebuah wilayah bebas, tentu sekali Malaysia tidak ada hak langsung ke atas hasil bumi dan lautan di situ.

Sempadan perairan Malaysia disitu dipengaruhi oleh kewujudan Kelantan sebagai sebuah wilayah di dalam Malaysia.

Kelantan bukan sebuah negeri yang dijajah atau dirampas oleh Malaysia atau Persekutuan Tanah Melayu. Sejarah membuktikan bahawa Kelantan pernah berada dibawah pengaruh Siam, Jepun dan Inggeris. Sewaktu dibawah pengaruh Inggeris, Kelantan diiktiraf mempunyai sebuah Kerajaan Berdaulat diketuai oleh baginda Sultannya. Inggeris mengklasifikasikan Kelantan sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu.

Penyertaan Kelantan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu adalah atas semangat Persekutuan bukan dengan rasa dijajah. Sultan Kelantan terus dijamin hak kekuasaannya dibawah semangat Persekutuan dan juga berdasarkan haknya sewaktu menjadi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Kelantan menyertai Persekutuan Tanah Melayu atas dasar penyatuan. Bersatu turut bererti berkongsi. Kedayusan yang ada pada Mustapha Mohamed harus tidak mempengaruhi rakyat Kelantan dalam mempertahankan hak mereka.

Untuk akhirnya, saya masih ternanti-nanti bila perdebatan antara Yb Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz untuk mengupas isu ini akan dibuat selepas proses cabar-mencabar dalam dewan rakyat semalam.

Sebagai rakyat negeri Kelantan, saya sangat sensitif dengan isu yang melibatkan negeri saya. Saya juga berpandangan perlunya pemberitahuan secara telus oleh kerajaan mengenai perkara ini.

Wallahu'alam.

Monday, November 16, 2009

Wanita Pertama Republik Islam Iran: Azam al-Sadat Farahi


ROM 16 Nov. – Wanita pertama Iran membuat kemunculan luar biasa serta memberi ucapan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini dalam forum di bandar raya ini menjelang persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang kebuluran bermula hari ini.

Isteri kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad boleh dikatakan tidak pernah membuat kemunculan awam bersama suaminya dan menghadiri perhimpunan awam sebelum ini.

Azam al-Sadat Farahi menghadiri forum berkenaan sebagai isteri Presiden Iran semalam, sebelum persidangan tiga hari mencari strategi menentang kebuluran bermula hari ini di ibu pejabat Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) PBB di Rom.

Dengan pakaian ‘chador’ hitam, Azam tidak berucap di podium tatapi dari tempat duduknya bersama barisan pasangan 60 ketua negara lain yang dijadualkan menghadiri persidangan, kata jurucakap FAO, Christopher Matthew.

“Ucapan beliau tidak dijangkakan dan beliau tidak mempunyai teks ucapan, ia adalah secara spontan,” kata pegawai FAO.

Agensi berita rasmi Itali, ANSA melaporkan, wanita nombor satu itu menggambarkan Iran sebagai contoh dalam memerangi kebuluran dengan memberitahu bahawa sistem negaranya, ajaran keagamaan, menjamin keselamatan makanan kepada semua keluarga.

Sky TG24 TV Itali berkata, beliau turut mengecam kebuluran kanak-kanak di Gaza.

Forum tersebut diketuai oleh Suzanne Mubarak, isteri Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Hubungan rasmi antara Iran dan Mesir tegang pada 1979 apabila Kaherah menandatangani persetujuan dengan Israel, negara yang dikecam sebagai musuh oleh Teheran. – AP


Berita dipetik dari Utusan Malaysia, semalam.

Palestine Will Be Free




Every day we tell each other
That this day will be the last
And tomorrow we all can go home free
And all this will finally end
Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

No mother no father to wipe away my tears
That’s why I won’t cry
I feel scared but I won’t show my fears
I keep my head high
Deep in my heart I never have any doubt
That Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

I saw those rockets and bombs shining in the sky
Like drops of rain in the sun’s light
Taking away everyone dear to my heart
Destroying my dreams in a blink of an eye
What happened to our human rights?
What happened to the sanctity of life?
And all those other lies?
I know that I’m only a child
But is your conscience still alive

I will caress with my bare hands
Every precious grain of sand
Every stone and every tree
‘Cause no matter what they do
They can never hurt you
Coz your soul will always be free

Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

Menanti kedatangan Ababil

Pernah kita dahulu diceritakan perihal makhluk kecil pilihan Allah yang telah berusaha untuk menyelamatkan kaabah. Burung yang telah dinukilkan dalam Al-Quran perihal kehebatannya mematuhi arahan Allah dalam memelihara kesucian bumi Makkah.

Firman Allah :

  1. Tidakah kau perhatikan baimana Tuhanmu bertindak terhadap pasukan tentera bergajah?
  2. Tidakkah telah menjadikan (oleh Allah) tipu daya mereka (untuk meruntuhkan Kaabah)itu sia-sia.
  3. Dan diturunkan kepada mereka (oleh Allah) (rombongan) burung berpasukan-pasukan.
  4. Melontar atas mereka itu dengan batu daripada tanah yang terbakar.
  5. Maka menjadikan mereka itu oleh Allah seperti daun-daun yang dimakan (ulat).
Ummat Islam Kini

Bila diperhatikan pada keadaan ummat Islam pada hari ini, suka atau tidak kita akan melihat terlalu banyak kelompangan yang melanda. Setiap sudut ummat Islam berada dalam keadaan lemah. Penjajahan pemikiran, penghambaan ekonomi, jenayah akhlak, kebobrokan sistem politik dan sebagainya sedang melanda ummah islam. Teringat saya pada hadis rasulullah yang menceritakan perihal ummatnya pada akhir zaman. Sabda Rasulullah SAW :

“Hampir tiba masanya, semua umat yang ada akan merebutkan kalian, sepertimana pemangsa mengerumuni hidangan.”
Seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana bilangan kami (umat Islam) ketika itu sedikit, ya Rasulullah?”.
Baginda menjawab, “Tidak,bahkan jumlah kalian amat banyak. Namun, keadaan kalian seperti buih di lautan. Allah mencabut dari hati musuh-musuh rasa takut terhadap kalian, lalu Dia memasukkan Wahn ke dalam hati kalian.”
Sahabat bertanya lagi,”Apakah Wahn itu?”
Baginda menjawab,”Cinta dunia dan takut mati.”.
(Hadith riwayat Abu Dawud)


Maka, bila diperhatikan pada hadis ini, saya terfikir kitalah ummat itu dan kita sebenarnya berada dalam situasi dan kondisi yang mencengkam. Cuba kita muhasabah dalam diri kita sendiri, adakah dalam hati kita perasaan ingin kembali kepada Rabb. Merindui Kekasih agung dalam mengharapkan rahmat dalam setiap tindak-tanduk kita? Andainya ajal datang menjemput untuk bertemu kekasih agung ini, adakah kita telah bersedia, atau sebenarnya hati kita masih memiliki sekelumit penyakit wahn?

Bilakah KEMENANGAN?

Persoalan yang sering berlegar-legar dalam kotak pemikiran kita hari ini adalah bilakah kemenangan Allah akan datang. Kita mencatur dan menghitung usaha yang kita lakukan untuk melihat kegemilangan Islam berada diatas. Kita mengimpikan keindahan tamadun silam. Kehebatan penaklukan Konstantinople dan keizzahan kita ummat Islam dalam menakluk 2/3 dunia.

Tetapi sekarang, semua itu telah menjadi sejarah dan tuntutan kita untuk mengulangi sejarah sangat-sangat kritikal sekarang kerana kita telah ditekan dalam segala aspek. Saya yakin yang kita selalu berpegang dengan Kalamullah dalam mengubat kerinduan pada kemenangan Islam. Saya yakin kita sering membisikkan ayat ini setiap kali rasa lemah dalam melaksanakan dakwah. Firman Allah :

“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad:ayat 7)

Kita sering mengharapkan pertolongan Allah dalam urusan mengembalikan kegemilangan Islam. Tetapi kita sering terlupa untuk memenuhi prasyarat kemenangan.

Imbas kembali ayat ini, jika dan HANYA jika kita menolong agama Allah’ terlebih dahulu (dgn berusaha habis-habisan, sehabis daya, bersungguh-sungguh, sampai penat, sampai pengsan, sampai mati),
barulah
nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

Kenapa begitu?Kerana Allah hanya akan memberikan pertolongan dan kemenangan kepada orang-orang yang layak sahaja. Ertinya, kalau Islam tak menang-menang jugak di dunia pada hari ini, itu maksudnya kita yang memang belum layak untuk menang. Belum layak untuk dapat pertolongan Allah. Belum cukup beriman. Belum cukup berusaha. Belum cukup berjuang. Itu sifirnya. Kalau kita hanya mahu goyang kaki, relax selalu, main game, tengok cerita korea, layari Face Book, dan tidak kisah serta tidak mahu fikir apa-apa hal Islam, usahlah mengimpikan ‘burung Ababil’ akan turun selamatkan kita.

Jadi penawarnya....

Bila kita diagnosis penyakit ummat Islam hari ini, kita melihat perlunya penawar yang hebat. Penawar yang boleh menghidupkan hati dan jiwa-jiwa yang kering, gersang dan mati. Penawar yang diberikan oleh jurutera hebat yang mencipta makhluk yang sempurna.

Diagnosis menunjukkan bahawa ummat Islam hari ini telah jauh meninggalkan agama. Pemikiran telah bercampur dengan pelbagai ideologi dan pengaruh barat yang maha dahsyat.

Maka ubatnya, satu-satunya solusi konkrit yang kita ada, ialah untuk membina semula jatidiri muslim itu. Segalanya mesti bermula dengan kembali memehami Islam, kembali mengamalkan Islam, jauhi dosa dan mementingkan ketaatan kepada Allah, oleh semua orang, tanpa mengira usia, lokasi, pangkat dan masa dalam semua aspek kehidupan.Tanpa ada yang terkecuali. Usaha ini nampak kecil, tidak gempak tetapi pada hakikatnya ia adalah nadi. Inilah titik mula perjuangan. The first and the most important step.

Sunday, November 15, 2009

Bicara Duka

Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi maha Penyayang

Beberapa ketika ini saya banyak dikhabarkan peristiwa yang menyedihkan berlaku dalam fatrah exam. Ujian dan cabaran yang Allah berikan benar-benar menjadikan diri kita seorang yang bergantung secara total kepada-Nya.

Saya teringat pada wajah-wajah sahabat yang hebat diuji Allah. Dalam kita sibuk mengulangkaji, tapi Allah memilih dia untuk merasai kerunsingan dan kesedihan terhadap seorang yang sangat bermakna dalam hidupnya. Bertuah dirimu sahabat, kerana dalam ramai insan yang ada disini, enkau dipilihNya. Beruntungnya dirimu, tika mana kita semua gembira selesai menjawab peperiksaan, tetapi engkau pilihanNya untuk dinaikkan darjat disisiNya.

Bersabarlah pada percaturan hidup ini. Kami yakin Allah ingin menjadikan kamu hebat...hebat dalam mendidik hati dan perasaan. Hebat dalam menempuh mehnah yang lebih hebat pada masa akan datang. Dia mendidik mu direct..bersyukurlah sahabat. Kami sangat yakin, kisah ini ada hikmah sebaliknya. Walaupun tiada cerita darimu, tapi kami tahu betapa ujian ini hebat bagimu. Hanya doa kami hantar untuk dirimu kuat dan tetap teguh, tidak jatuh tapi terus kuat dihempas angin ujian.

Sahabat, ingin kami melihatmu menjadi sehebat fatimah Az-zahra'. Kami tahu dirimu kekadang penat mengurus segalanya menggantikan insan tersayang. Wajah penatmu ketika bersua tak dapat menipu segalanya.

Kenangkan kembali sahabat, kisah puteri rasulullah yang membesar dalam kesusahan tanpa seorang ibu. Mengurus segalanya untuk rasulullah sehingga menjadi seorang yang hebat dalam Islam. Ingatkah sahabat, kisahnya apabila pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu menceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya. Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan.

Sahabat, sirah inilah penguat kita...dekatkan diri pada Allah adalah kunci segalanya. Basahkan hati dengan mengingati Allah itu yang penting. Selaku sahabat, kami akan sentiasa mendoakanmu. Mendoakan kesejahteraan keluargamu dan memberi kesembuhan pada ayahmu.

Semoga dirimu terus tegar menghadapi gelombang kehidupan..

Salam dari seorang sahabat untuk sahabat....

Monday, November 2, 2009

Kuasa Penulisan

Jiwanya resah. Kejap duduk dan kejap berdiri. Ruang bilik bersegi empat itu dipusingnya sambil sesekali menatap wajah sang isteri yang tengah gelisah. Berita yang didengarnya betul-betul menjadikan jiwanya berdebar. Tetiba muncul wajah musuh utamanya yang dulunya menjadi seorang yang paling disayangi.

Teringat berita yang disampaikan dalam kitab suci perihal diri dan isteri tercinta. Hatinya benar-benar kecut memikirkan ancaman yang diberi terus atas batu jembalangnya.

Peristiwa dahulu tetiba menejah ruang ingatan yang telah tua dimakan usia.

" Panggil Muhammad, katakan padanya aku sakit". Lantang mengarahkan khadam memanggil insan mulia utusan Allah, penyeri seluruh alam.

Misinya dimulakan dengan menggali lubang sedalam 2 orang dan ditutup dengan tikar. Bisikan iblis mula meraja diri untuk memalukan insan pilihan Allah.

"Aku ingin tengok dia meminta tolong padaku untuk keluar dari lubang ini..hahaha.." bicaranya sendiri.

Bergegas Rasulullah menemui bapa saudaranya. Selangkah lagi Nabi s.a.w untuk terjerumus, hati Abu Lahab sudah berbunga-bunga, syaitan membisikkan kemenangan di hatinya dan dia sudah terbayang-bayang Nabi s.a.w merayu-rayu kepadanya untuk dikeluarkan dari lubang itu.

Pada saat itu jugalah, Allah s.w.t memerintahkan Jibrail a.s supaya menyuruh nabi s.a.w berhenti melangkah dan pulang ke rumahnya semula untuk menghindarkan diri dari kejahatan Abu Lahab. Jibrail a.s juga memberitahu Nabi s.a.w bahawa Abu Lahab hanya berpura-pura demam.

Hati Abu Lahab sakit mengenang peristiwa tersebut, dia juga gementar mengingatkan peringatan tuhan Muhammad SAW terhadap dirinya.

(1) Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia! (2) Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. (3) Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergolak (neraka). (4) Dan (begitu pula) istrinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). (5) Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal.

Belajar dari Al-Quran

Hebatnya mukjizat agung yang dianugerahkan Allah sebagai pembimbing dan perlembagaan utama manusia, sehinggakan dalam sekecil-kecil perkara sehingga perkara yang besar telah diceritakan dalam susun bahasa yang boleh difahami dan menyentuh jiwa dan roh pembaca.

Pada Al-Quran itu sendiri boleh belajar cara untuk menjadi seorang penulis yang hebat. Padanya juga terdapat taknik dan cara untuk menyampaikan sesuatu supaya penyampaian lebih menarik dan dapat diterima. Kisah Abu Lahab sebagai contoh, dalam kebiadapannya menyakiti Rasulullah SAW, bagaimana hebatnya Kalam Allah ini memberi kecaman dan ancaman terhadap musuh Islam sehinggakan mampu menjatuhkan perancangan musuh.

Bila melihat pada gaya bahasa yang terdapat dalam Al-Quran, kita dapat rasakan kehebatan penyusunan tatabahasa yang sesuai mengikut situasi, suasana dan keadaan. Membentuk penulisan yang menarik memerlukan penyusunan bahasa yang saling berkait dalam satu perenggan dengan perenggan yang seterusnya. Penyusunan yang sesuai mengikut jenis penulisan yang dihasilkan juga perlu supaya penulisan tersebut lebih dihayati.

Melahirkan Penulis HEBAT

Perkara utama yang perlu diingati sebagai khairul ummah adalah misi kita dilahirkan didunia ini. 3 misi terbesar iaitu sebagai khalifah, hamba dan daie. Amanah yang tidak akan lupus walaupun pelbagai perkara berlaku.

Hidupnya kita sebagai khalifah menuntut kita untuk "iqamati al-deen, wa siasatul dunya bih" Mendirikan agama dan mentadbir dunia dengannya. Maka secara tepatnya, untuk melahirkan seorang penulis yang hebat adalah dengan meletakkan Allah dihadapan.

Sekiranya jiwa seorang penulis subur dengan mengingati Allah, maka dengan jelas dia akan berfikir adakah tulisannya itu mengandungi dosa atau pahala, membawa kepada kebaikan atau menyeru kepada kemudharatan. Perlunya kelahiran penulis yang memiliki jiwa rabbani bukan hanya berfikiran sekular yang menyebarkan ideologi barat.

Penulis yang hebat adalah yang boleh menyebarkan dakwah dalam tulisannya. Bukan hanya menulis untuk mengisi masa lapang, tetapi perlu menitikberatkan soal dakwah dalam memberi kesedaran kepada ummah yang sedang parah sakit dek kerana jiwa yang parah jauh dari Tuhan.

Berusaha dan Mencuba

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan diri mereka" Ar-Ra'du :11

Motivasi dari Al-Quran ini benar-benar berkesan. Mana mungkin kita boleh menjadi seorang penulis yang hebat dengan hanya menongkat dagu tanpa mengambil langkah proaktif. Keazaman untuk menjadi penulis hebat sangat penting dan merupakan pendorong utama dalam penghasilan karya yang baik. Pembacaan dan pemerhatian sangat perlu disamping mempraktikkan kebolehan untuk menulis.

Ketahuilah bahawa, setiap orang dilahirkan sebagai juara. Mengasah bakat dapat menjadikan kita sebagai juara dalam bidang penulisan. Jangan malu dan takut tetapi teruskan menulis. Mungkin peringkat awlnya penulisan kita sangat kolot, tapi sesuatu yang hebat bermula dari kelemahan yang sentiasa diperbaiki.

Untuk akhirnya, marilah kita sama-sama berusaha untuk memantapkan bidang penulisan kita untuk kelangsungan dakwah. InsyaAllah. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih pada semua yang menggalakkan saya untuk menulis walaupun penulisannya tidaklah sehebat mana. Tapi inilah permulaan yang baik.

Untuk sahabat-sahabat yang ingin mengetahui lebih mengenai penulisan, mungkin boleh layari blog sahabat saya. Penerangan berkaitan penulisan yang lebih detail dia jelaskan berdasarkan bengkel penulisan yang kami hadiri semalam.

Wallahu'alam